Allah Yang Maha Kuasa, dengan IradahNya diciptakan manusia dari satu jiwa, kemudian diciptakan pula pasangannya supaya bersemi ketenangan, kesenangan dan kedamaian.
Allah melimpahkan sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya ke lubuk jiwa manusia dengan perasaan cinta serta melimpahkan rasa kasih sayang sebagai landasan kebahagiaan keluarga dalam sebuah rumahtangga.
Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
Sikap berhati-hati dalam menentukan pilihan untuk pasangan hidup merupakan ciri khas dari insan budiman. Sekiranya salah membuat pilihan, bererti sepanjang hayat menanggung penyesalan. Sikap memilih dan ingin dipilih adalah hak bagi setiap manusia. Adalah tidak adil rasanya dunia ini, jika pilihan hanya dibolehkan untuk kaum lelaki.
A. Memilih pasangan hidup
Dalam kehidupan bermasyarakat, perkahwinan dan pernikahan sangat diperlukan. Tujuannya adalah untuk meneruskan kehidupan umat manusia di bumi ini. Perkahwinan merupakan fitrah bagi setiap makhluk Allah dan menjadi asas bagi melanjutkan bahtera kehidupan.
Beberapa pendapat tentang jodoh:
1. Jodoh merupakan takdir semata
"Jodoh di tangan Tuhan, manusia mesti menerima jodohnya, baik ataupun buruk"
Pendapat ini sangat besar pengaruhnya dan berkembang luas dalam masyarakat, tapi sayang pendapat ini kurang tepat. Jika pendapat tersebut hanya bermaksud : "Jodoh di tangan tuhan maka ada kebenarannya. Tetapi ayat yang seterusnya terkeluar dari hakikat sebenar.
Kekeliruan yang nyata sebagai bukti lemahnya pendapat itu ialah seringkali menyalahkan Tuhan bila berlaku kegagalan. Seringkali kita dengar, "Sudah takdir Tuhan, jodoh saya tak panjang."
Daripada pendapat itu, adakah Tuhan bersalah memutuskan perhubungan hambanya? Hakikat sebenarnya, siapa yang memutuskannya.
2. Jodoh merupakan takdir dan perlu dicari
"Jodoh di tangan Tuhan, tetapi manusia harus berikhtiar mencari dan memilihnya"
Pendapat ini lebih baik dari pendapat pertama, walaupun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.
3. Wajib berikhtiar sesuai dengan ketentuan Allah
"Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan"
Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh.
No comments:
Post a Comment